Wednesday 25 June 2014

Kemudahan Sma Ittifakiah


JERTIH (Sinar Harian) – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meluluskan peruntukan segera sebanyak RM30,000 kepada Sekolah Menengah Agama (SMA) Ittifakiah, di sini, untuk melengkapkan kemudahan perpustakaan sekolah itu.
Ahmad mengumumkan peruntukan itu pada ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-9 sekolah berkenaan, semalam.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan membeli sebuah bas untuk kegunaan sekolah itu pada tahun hadapan, sebagaimana permohonan yang disampaikan Yang Dipertua PIBG, Abdul Majid Ahmad untuk kemudahan pelajar.
“Tahun depan sekolah ini akan memperoleh bas tersebut.
“Selain itu, walaupun tidak diminta, namun memandangkan tanah kosong masih ada di kawasan sekolah ini, kerajaan negeri meluluskan peruntukan pembinaan dua blok bangunan tambahan sekolah untuk menampung bilangan pelajar yang semakin ramai memohon masuk ke sekolah agama,” katanya.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar; Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Datuk Shaikh Harun Ismail; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Ariffin Embong; Pegawai Daerah Besut, Wan Mohd Wan Ibrahim; pengetua sekolah, Jusoh Mat dan pegawai terlibat.
Kata Ahmad, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan peruntukan yang banyak untuk pendidikan bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat pelajaran yang baik dan mengubah taraf ekonomi rakyat.
“Berbanding negeri lain, kerajaan negeri memperuntukkan wang yang banyak supaya pelajar mendapat kemudahan terbaik dan lebih ramai pelajar dan sekolah cemerlang dapat dilahirkan,” katanya.
Dalam majlis sama Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada pelajar, guru dan kakitangan cemerlang

No comments:

Post a Comment